Monday, January 12, 2009

Delegasi Hamas respon inisiatif Mesir di Kaherah.


Isnin ,12/01/2009 - Delegasi Pergerakan Hamas dari dalam dan luar bertemu dengan pihak berkuasa Mesir di Kaherah pada Ahad mengenai pendirian mereka terhadap inisiatif Mesir berkenaan usaha damai di Gaza. Delegasi tersebut terdiri daripada Emad Al-Alami dan Mohamad Nasr, Biro Politik dari Damaskus dan Dr. Jamal Abu Hashem, Dr. Saleh Al-Bardawil dan Ayman Taha dari Gaza.

Sumber memberitahu bahawa delegasi seramai 5 orang tersebut telah berjumpa dengan Ketua Risikan Mesir Omar Sulaiman buat kali kedua di dalam beberapa hari ini. Perjumpaan pertamanya adalah ketika pihak Mesir mengemukakan inisiatif awal yang telah dihebahkan di dalam pertemuan bersama di antara Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Perdana menteri Perancis, Nicolas Sarkozy.

Menurut kenyataan sumber itu lagi, maklum balas oleh Hamas tersebut adalah hasil daripada perbincangan bersama di kalangan pemimpin dan kader-kader mereka dan ianya akan diserahkan kepada pihak berkuasa Mesir.

Menurut jurucakap Hamas, adalah tidak sesuai untuk mereka memberikan apa-apa ulasan berkenaan perincian maklumbalas tersebut sebelum ianya diserahkan kepada pihak Mesir.

Biro Politik Hamas, Mohammad Nazzal memberitahu pihaknya positif di atas usaha Mesir jika sekiranya semua syarat-syarat yang diserahkan bersama maklumbalas tersebut diterima. Beliau mengingatkan bahawa Hamas berkali-kali memohon terhadap penghentian serangan, pengunduran askar, gencatan senjata dan pembukaan laluan sempadan. Pada masa yang sama, kehadiran Ahmed Daoud Oglu, Penasihat Politik Perdana Menteri Turki membawa spekulasi bahawa beliau akan terlibat dengan usaha-usaha gencatan senjata di Gaza.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : Abu Nasih

No comments:

Post a Comment