Friday, January 23, 2009

Aman Palestin Malaysia ke Gaza




Tepat jam 10.30 malam waktu Malaysia bermulanya misi Gaza yang disertai oleh 5 orang sukarelawan Aman Palestin. Rombongan ini di ketui oleh Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Mereka membawa amanah rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan untuk rakyat Palestin. Dengan ini mesej serta objektif Aman Palestin adalah jelas iaitu akan memastikan setiap sen yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin akan disampaikan dengan penuh amanah.

Aman Palestin sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan mereka kepada kami dalam membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin. Rombongan ini megharapkan doa dari rakyat Malaysia akan sumbangan tersebut selamat diagih-agihkan kepada yang memerlukan.



Isu kepungan dan serangan besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Zionis kini tamat buat seketika dengan pengisytiharan gencatan senjata sebelah pihak (Israel)….Kenyataan Media Aman Palestin Berhad
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Isu kepungan dan serangan besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Zionis kini tamat buat seketika dengan pengisytiharan gencatan senjata sebelah pihak (Israel), tanpa melibatkan persetujuan bertulis pimpinan Hamas.
Aman Palestin mewakili seluruh rakyat Malaysia telah melakukan pelbagai usaha untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin khususnya di Gaza dengan hasil kutipan derma dan bantuan yang tidak pernah putus dari rakyat Malaysia.
Sehubungan dengan itu, pihak Aman Palestin amat mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia terus bermurah hati menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk sekalipun untuk saudara-saudara kita di Palestin terutamanya di Gaza. Tambahan lagi bantuan segera amat diperlukan rakyat Gaza buat masa ini untuk membina semula kehidupan dan infrastruktur yang banyak dimusnahkan oleh tentera Israel.

Kami juga ingin menyatakan di sini bahawa, pihak kami akan terus menghulurkan bantuan yang telah terkumpul untuk disalurkan kepada masyarakat Palestin khususnya di Gaza. Dengan yang demikian pihak Aman Palestin akan menghantar rombongan yang terdiri daripada lima orang sukarelawan dan diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Aman Palestin sendiri, yang insyaAllah akan berlepas ke Kaherah Mesir pada 21 haribulan Januari 2009 (rabu), dan seterusnya akan melalui `Arisy (bandar yang terletak di sempadan Gaza) kemudian akan cuba sedaya upaya melepasi sempadan Rafah untuk masuk ke Genting Gaza, Palestin. Rombongan Selamatkan Gaza oleh Aman Palestin ini akan disertai oleh 4 orang Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALP) Aman Palestin dan seorang sukarelawan. Mereka terdiri daripada :-
1- Abdullah Zaik Bin Abd. Rahman - Pengerusi Eksekutif Aman Palestin.
2- Ir. Haji Zaini Bin Awang - ALP Aman Palestin
3- Puan Hajah Hasimah Bte Salleh - ALP Aman Palestin
4- Haji Shamsul Maarif Bin Ismail - ALP Aman Palestin
5- Haji Abd. Rahman Mat Dali - Sukarelawan Aman Palestin (CEO Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi)

Misi utama rombongan kemanusiaan Aman Palestin pada kali ini ialah untuk menyampaikan bantuan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza. Di samping itu, rombongan ini juga akan berusaha untuk masuk ke dalam Gaza bagi melihat sendiri kesan pencerobohan Israel dan mangsa-mangsa kekejaman Israel di Gaza. Rombongan ini juga akan menyampaikan bantuan yang berupa kereta Ambulans yang lengkap dengan peralatan ICU dan juga untuk operasi pembedahan, 3 buah janakuasa untuk hospital serta bantuan pakej makanan. Keseluruhan bantuan yang dihantar pada kali ini melebihi RM800,000.00.

Rombongan ini juga akan melihat kesan kemusnahan yang berlaku di Gaza seterusnya menganggarkan bantuan-bantuan susulan yang akan disalurkan. Untuk bantuan seterusnya, Aman Palestin berusaha untuk menyalurkan bantuan berjumlah melebihi USD1 juta dollar Amerika bagi membekalkan 4 lagi Ambulans ICU, janakuasa hospital, pakej makanan untuk keluarga Palestin, Pakej bantuan pelarian Palestin bagi membantu mereka membina semula kehidupan mereka dan membekalkan peralatan hospital yang sangat kekurangan.
Maka dengan itu, sekali lagi Aman Palestin mengharapkan agar rakyat Malaysia khususnya, tidak hanya melihat pada ketika berlakunya serangan untuk menghulurkan bantuan, bahkan hendaklah diteruskan dari masa ke semasa sehinggalah isu Palestin ini tamat, dan bumi yang diberkati ini bebas dari cengkaman Zionis serta mereka mendapat semula hak yang sememangnya milik mereka. Aman Palestin tidak melihat isu ini akan tamat dengan begitu sahaja, apatah lagi apabila rejim Zionis sering tidak mematuhi gencatan senjata yang dicanangkannya sendiri.
Semoga dengan semangat dari rakyat Malaysia yang terus menderma dan membantu akan meringankan beban penderitaan saudara-saudara kita di sana, insyaAllah

1 comment: